Wednesday 7 December 2011

KRAFTANGAN

KRAFTANGAN
Kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan. Hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan dan atau keagamaan. Hasil pengeluaran besar-besaran atau hasil kejenteraan bukan bersifat kraftangan.


JENIS-JENIS KRAFTANGAN
TEMBIKAR
Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan Melayu tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah zawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya. Terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan ialah di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak. Salah satu barangan tembikar yang begitu popular di Malaysia ialah labu sayong. Cara menghasilkan tembikar juga dipanggil seramik di empat kawasan tersebut tidak banyak berbeza cuma jenis barangan yang dihasilkan dan rekacorak hiasan atau pengemasannya. Perbezaan ini wujud kerana pengaruh adat dan cara hidup mesyarakat tempat, serta daya cipta pengusahanya. Hal ini juga memberi gambaran bahawa barangan tembikar tradisional mengutamakan ciri fungsional dari ciri perhiasan. Labu ialah sejenis buyong, takar atau kendi tembikar yang bentuk asasnya menyerupai buah labu. Sayong pula nama merupakan sebuah kampung yang terletak di Kuala Kangsar.


UKIRAN KAYU
PengenalanSeni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

ANYAMAN
Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman. Jika diperingkat sekolah rendah penggunaan bahan ganti boleh digunakan dalam penghasilan membuat anyaman contohnya surat khabar, daun kelapa dan lain - lain lagi mengikut tahap murid.


Masyarakat Malaysia begitu kaya dengan warisan seni halus yang diwarisi sejak zaman berzaman. Tenunan, sulaman, tekat dan ukiran umpamanya adalah antara seni halus yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan. Kreativiti dan kehalusan seni begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional ini. Beberapa topik berkaitan bidang seni halus yang akan dipaparkan dalam lama web ini adalah anyaman, seni batik, pua kumbu, songket, tekat, kain dastar, kain tenun, manik, ukiran dan tembaga. Seni warisan ini perlu didedahkan kepada generasi yang akan datang supaya seni warisan tradisional ini " Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas". Penerapan dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual merupakan salah satu alternatif memperkenalkan seni warisan kepada generasi muda.

No comments:

Post a Comment